Halaman

Cari Blog Ini

Rabu, 30 Jun 2010

4 sifat Nabi boleh meningkatkan Produktiviti PENJAWAT AWAM

Kebelalakang ini banyak kes rasuah melibatkan kakitangan awam di Malaysia. Presiden Cuepac kata lebih 40% terlibat dengan rasuah. Kini sudah sampai masanya kita bentuk staf Awam dengan 4 sifat Rasullulah supaya mereka terselamat di dunia dan di akhirat. Dan generasi yang akan datang lebih beriman dan bertakwa hasil dari gaji pendapatan yang halalan toyyiban.



1. Sidek - benar dalam segala perlakuan/kedatangan/overtime/perjalanan

2. Amanah - dalam urusan jabatan/kewangan/pembelian dari pembekal yang betul (Right place-Right price)

3. Tabligh - Kemahiran dalam komunikasi samada menerima mesej mahupun menghantar mesej. Mesej mesti yang benar dan tidak dimanupulasi. Mesej dari dua hala (atas ke bawah dan bawah ke atas)

4. Fatonah - bijaksana dalam pentadbiran dan pengurusan. Bijak dalam perkataan. Bijak dalam perbuatan. Bijak yangh boleh dicontohi. Nawaitu yang betul semasa datang kerja dan pulang kerja.

InsyaAllah jika semua boleh boleh berfikir, Selamat Malaysia dari musibah keruntuhan dan tsunami.


p/s: Banyak sudah yang kita lupa

Selasa, 29 Jun 2010

CIKGU BERSUNGUT

"Sejak kebelakangan ini, terlalu banyak rungutan daripada warga pendidik tentang bebanan tugas dan kekurangan masa untuk keluarga. Tidak kurang juga yang meminta-minta gaji dinaikkan. Profesion keguruan dilihat seperti tidak menyeronokkan serta membebankan. Mungkin disebabkan “tekanan jiwa” ada guru yang bersikap melampaui batas menghukum pelajar sehingga mencedera dan mengaibkan pelajar berkenaan.


Namun, benarkah profesion ini begitu membebankan? Sudahkah guru-guru yang merungut itu membuat banding beza dengan profesyen2 lain seperti jururawat, polis, nelayan, petani, pekerja kilang dan seumpamanya? Pernahkah tidur lena mereka diganggu dan diarahkan bertugas serta-merta? Pernahkah mereka diarahkan ke luar daerah dan meninggalkan keluarga tercinta berbulan-bulan lamanya? Pernahkah mereka merasai nyawa seperti telur di hujung tanduk ketika keluar bertugas?

Mengapa prestasi pelajar yang menjadi igauan ngeri? Pelajar seperti apakah yang ingin kita hasilkan? Yang lulus peperiksaankah atau yang seimbang rohani dan jasmaninya? Kalau kita memilih yang pertama maka jadilah kita seperti robot yang menyuap pelajar dengan sebanyak mungkin maklumat supaya mereka dapat jawab soalan. Pelajar mungkin dapat keputusan cemerlang dan berjaya ke IPT. Namun selepas itu mereka akan terima kejutan sebab tiada siapa yang mahu menyuap mereka lagi. Pelajar juga tak tahu memanfaatkan ilmu sebab bagi mereka ilmu adalah untuk lulus periksa dengan cemerlang.

Guru tidak sepatutnya berasa tertekan atau terbeban kerana peranan guru adalah pemudahcara. Justeru, guru perlu bijak melaksanakan strategi pengajaran dan pembelajaran untuk menghasilkan insan yang seimbang. Bukan semata-mata latih-tubi menjawab soalan yang sungguh membosankan bukan sahaja pelajar bahkan guru. Bersyukurlah kita ditakdirkan menjadi guru yang menikmati gaji tetap yang lumayan, pencen, kemudahan pinjaman, kerja setengah hari dan cuti yang banyak. Kalau adapun kelas tambahan cuma sekali dua dalam seminggu. Kalaupun penat lelah membuat kelas tambahan itu tidak dibayar (biasanya berbayar)anggap sahajalah sebagai sedekah amal jariah yang besar ganjarannya.

Berhentilah bersungut dan berlapang dadalah mendidik anak bangsa seperti mana yang diamalkan oleh guru-guru terdahulu yang menerima gaji jauh lebih kecil daripada yang kita nikmati sekarang ini.

SUMBER:teranungkite
 
......Jangan lupa semua amalan bertitik daripada niat....
.....mungkin cikgu lupa pasang niat................

Isnin, 21 Jun 2010

UPSR dan PMR bakal dimansuhkan

JANGAN LUPA.. Tulisan jawi,kelas lompat dan lain-lain diperkenalkan kemudian dimansuhkan.
Ini seperti fenomena "sekali air bah..sekali pantai berubah"

MUAR 20 Jun – Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mungkin dimansuhkan kerana sistem pembelajaran kini dilihat terlalu berorientasikan peperiksaan berbanding memberi pendidikan holistik kepada pelajar.


Bagaimanapun, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan dikekalkan sebagai satu-satunya peperiksaan awam di sekolah.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan kini sedang mengkaji dengan teliti cadangan pemansuhan kedua-dua peperiksaan itu sebelum membuat keputusan muktamad.

“Di Malaysia, kita terlalu berorientasikan peperiksaan. Umumnya sepanjang 11 tahun murid masuk ke sekolah ada tiga peperiksaan awam. Ada pihak berpendapat ini menyebabkan cara pembelajaran lebih menjurus usaha mencapai keputusan yang baik dalam peperiksaan awam.

“Maka sebab itu di Malaysia selain di sekolah, ibu bapa hantar anak ke tuisyen sebab hendak keputusan cemerlang dalam UPSR, PMR dan SPM.

“Pihak kami sedang fikirkan sama ada akan kekalkan atau perlu hanya satu sahaja peperiksaan awam, seperti di peringkat SPM sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Pekembar dekat sini hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pelaksanaan UPSR dan PMR adalah baik namun disebabkan terlalu menjurus kepada peperiksaan, tujuan utama menuntut ilmu secara kreatif, interaktif dan menimba pengetahuan secara holistik tidak tercapai sepenuhnya.

Beliau berkata, disebabkan terlalu berorientasikan peperiksaan, fokus utama guru dan pelajar tertumpu kepada keputusan cemerlang pada peperiksaan awam dan mereka turut dibebani dengan peperiksaan penilaian di peringkat sekolah.

“Dalam soal kerjaya dan kerja, orang tidak pakai lagi PMR dan UPSR. Orang (majikan) tidak tanya pun berapa ‘A’ yang dapat dalam PMR dan UPSR, sebaliknya hanya keputusan SPM dan di peringkat universiti saja orang ambil kira,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata, kebanyakan negara lain hanya mempraktikkan satu peperiksaan awam sepanjang persekolahan dan contoh itu boleh diambil Malaysia dengan memberi lebih penekanan kepada penilaian di peringkat sekolah.

“Saya sendiri berpendapat adalah lebih wajar kalau perlu adanya penilaian, kita buat di peringkat yang terakhir, selepas belajar 11 tahun (di sekolah rendah dan menengah) sebelum masuk universiti.

“Saya mengajak golongan pakar pendidikan dan masyarakat untuk memberi respons kerana kita belum ada keputusan tetapi banyak pihak mencadangkan untuk mengubah sistem kepada hanya satu sahaja peperiksaan awam,” katanya.

Namun menurut Muhyiddin, sekiranya peperiksaan UPSR dan PMR diteruskan, ia hanya sebagai penilaian pencapaian pelajar di peringkat sekolah dan bukannya sebagai peperiksaan awam.

Tegas beliau, banyak perkara harus diteliti terlebih dahulu dan penstrukturan semula perlu dilakukan bagi membolehkan keputusan penilaian di peringkat sekolah dapat diguna pakai oleh pelajar untuk memasuki sekolah berasrama penuh.

“Ini ada hubung kait dengan rombakan sistem pendidikan negara untuk mengubah bentuk kurikulum supaya lebih banyak masa terluang untuk fokus kepada subjek-subjek utama serta aktiviti sukan.

“Di peringkat kementerian, kita sedang meneliti dan memerlukan input dari warga akademik, pendidik dan masyarakat. Debat sihat dalam media juga bagus untuk perkara ini,” katanya.

-sumber dari Utusan-

Sabtu, 12 Jun 2010

JUDI HARAM TETAP HARAM TAKDE JUDI HALAL

Mega-konglomerat Berjaya Corporation terus berusaha untuk menutup mulut pengkritiknya, dengan sekali lagi menegaskan bahawa ia telah mendapat kelulusan kerajaan untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan secara sah.




Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat itu mempertahankan pengumumannya kepada bursa pada 12 Mei lalu mengenai cadangannya untuk mengambil alih 70 peratus pegangan dalam Ascot Sports Sdn Bhd - syarikat yang mempunyai lesen pertaruhan tersebut - bernilai RM525 juta.



Menurutnya, terdapat banyak percanggahan perbahasan mengenai status sebenar kelulusan yang diberikan kepada Ascot untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan di negara ini.



Dalam mematuhi arahan Bursa, syarikat itu mengulangi kembali bahagian-bahagian tertentu dalam pengumuman 12 Mei lalu yang menyatakan bahawa menteri kewangan telah memberi kelulusan untuk menerbitkan semula kepada Ascot lesen untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan mengikut terma dan syarat-syarat tertentu.



Menurutnya, dalam perenggan 8 yang menyenaraikan Kelulusan Diperlukan, perenggan kecil (d) menyatakan, "Menteri kewangan untuk menerbit semula lesan pertaruhan sukan dan perubahan pemegang saham dan pengarah di Ascot, jika perlu."



Dengan demikian, katanya terbukti daripada kenyataan di atas bahawa Ascot telah mendapat kelulusan daripada menteri kewangan untuk menjalankan operasi pertaruhan sukan dan bahawa lesen rasmi yang pertama kali diberikan pada 1987 adalah menunggu untuk diterbitkan semula.



Sebanyak 70 peratus saham Ascot Sukan diilik oleh pengerusi Berjaya Corp Tan Sri Vincent Tan
 
SUMBER: malaysiakini
 
ps..jangan le lupa kita ada mufti-mufti yg hebat...tegas mereka dalam hal ini
jangan le lupa ..kita pernah diperkenalkan dengan islam hadhari...da lupa ka..atau sudah tidak releven lagi

Khamis, 10 Jun 2010

Israel@Yahudi Laknatullah

lama rasa tak menjenguk blog ni....
Rasa terlalu marah dengan regim zionis ini...jumaat lepas saya berpeluang menyampaikan khutbah jumaat tengan kerakusan regim syaitan ini...




Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Seperti biasa mimbar jumaatr mengajak diri saya sendiri seterusnya saudara sekalian untuk mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah dengan mengerjakan segala perintahnya dan menjauhkan diri dari larangannya.mudah-mudahan kita diberikan kebahagian di dunia dan di akhirat.

Siding jumat sekalian

Buat kesekian kalinya kita terus disajikan dengan keganasan demi keganasan yang tidak berperikemanusiaan oleh rezim zionis.Israel laknat tullah.yang terbaru bagaimana dengan rakusnya rezim menyerang mavi marmara sebuah kapal yang menempatkan konvoi bantaun ke gaza yang terdiri dari sukarelawan dan para wartawan serta orang awam.

Sekali lagi, umat Islam sedunia dihidangkan dengan pusingan seterusnya kekejaman regim Zionis ke atas umat Islam dan manusia di bumi Palestin. Kekejaman yang melampaui batas fikiran manusia, yang tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengiyakan apa yang telah menjadi amaran Allah dalam al-Quran, tentang fasad besar-besaran pusingan kedua yang dicetuskan oleh kaum Yahudi ini.

Firman Allah SWT:



“Dan telah Kami nyatakan kepada Bani Israil di dalam Kitab itu: “Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau” [al-Israa' 17: 4]

Para ahli Tafsir kontemporari menyetujui bahawa kerosakan pertama yang dilakukan oleh orang-orang Yahudi ini adalah semasa mastautin mereka di bumi Yathrib. Mereka menguasai politik, ekonomi dan sosial di kota tersebut, bongkak dengan impian mereka bahawa Nabi akhir zaman akan diutuskan sekali lagi daripada keturunan mereka, dan seterusnya memanfaatkan kebodohan kaum Aus dan Khazraj lalu melaga-lagakan dua kelompok kaum Arab ini hingga berperang sesama sendiri, mencecah suatu tempoh yang amat panjang.

Kerosakan pertama ini mencapai kemuncaknya, apabila mereka secara rasmi menolak Kenabian Rasul akhir zaman, tatkala tibanya Muhammad bin Abdullah ke kota Yathrib di dalam peristiwa Hijrah. Meleset sekali impian mereka, bahawa Allah telah menetapkan bahawa kaum yang banyak membunuh Nabi dan Rasul ini hilang kebanggaan buta mereka, apabila penutup segala Nabi dan Rasul, diutuskan daripada kaum Arab berketurunan Ismail ‘alayhi al-Salaam, iaitulah Junjungan Mulia Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Firman Allah SWT:



“Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat keras serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (untuk menyerang dan mengusir kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang benar-benar berlaku” [al-Israa' 17: 5]

Sidang Jumaat, rahimakumullah…

Misi menghadapi kaum Yahudi yang tidak pernah jemu menyebarkan kerosakan di muka bumi biar pun telah diberi peluang berkali-kali oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam, disempurnakan oleh umat Islam dengan pengusiran mereka dari bumi Khaybar pada bulan Muharram tahun ke-7H.

Semenjak itu, kaum Yahudi hidup berpeleseran dan sukar diterima di mana-mana sahaja penempatan di muka bumi, di bawah mana-mana kuasa pemerintah, disebabkan oleh perilaku mereka sendiri yang tidak henti-henti mencetuskan fasad di muka bumi.

Namun, di sepanjang sejarah itu, kuasa pemerintah Islam jugalah, dengan keluasan rahmat dan toleransinya menghulurkan bantuan bersyarat kepada kaum Yahudi, termasuklah semasa mereka berdepan dengan pembunuhan beramai-ramai di bumi Andalus pada 1492 oleh kuasa Kristian. Kerajaan Islam Turki Othmaniyyah mempelawa mereka untuk mendapat perlindungan duduk di bawah pemerintah Islam, tetapi Yahudi tetap Yahudi, mereka menjadi duri dalam daging hingga akhirnya berperanan sebagai kelompok terpenting yang menjadi punca kepada kejatuhan kerajaan Turki Othmaniyyah. Yahudi Donme yang hidup talam dua muka, menjadi lubang kebocoran bagi negara Islam terakhir itu, hingga legasi Islam ribuan tahun, tamat secara rasminya pada tahun 1924.

Sidang Jumaat sekalian,

Kejatuhan kerajaan Islam terakhir itulah, titik utama kepada terlepasnya bumi Palestin dari wilayah Islam. Sehingga kini, bumi Palestin itu terus bermandi darah, setiap anak yang dilahirkan, adalah seperti sudah tersurat bahawa mereka bakal menjadi mangsa kekejaman penjajah Zionis yang terus menerus membelakangkan kemanusiaan, menghancurkan apa dan siapa sahaja yang menghalang cita-cita mereka untuk menegakkan negara Zionis dari tebing Furat ke Sungai Nil.

Itulah ’sumbangan’ Yahudi.

Kerosakan demi kerosakan.

Dan Allah SWT telah menetapkan, bahawa kitalah pada hari ini yang berdepan dengan kerosakan besar-besaran pusingan kedua, sebagaimana yang telah dicatatkan di dalam ayat yang saya bacakan tadi.

Jamaah kaum Muslimin sekalian,

Apakah tindakan kita? Apakah cukup dengan hanya menggelengkan kepala, menanti isu ini pudar daripada siaran media selepas seminggu dua, dan kemudian menggelengkan kepala lagi untuk pusingan yang seterusnya?

Sesungguhnya, kita mempunyai 3 bentuk tindakan yang menanti perlaksanaan.

Tindakan pertama, adalah dengan MENGECAM.

Kita boleh dan perlu untuk membuat kecaman. Membantah dan menyuarakan penentangan kita terhadap kekejaman Yahudi di bumi Palestin. Sama ada kecaman itu dibuat dalam bentuk demonstrasi, ucapan, khutbah dan penulisan, kecaman mesti diteruskan.

Kecaman ini boleh menjustifikasikan sokongan dan kebersamaan kita dengan saudara-saudara seagama di bumi Palestin. Ia juga menjadi bukti terhadap kepedulian kita. Ia menjadi tanda bahawa kita bukan terdiri dari kelompok manusia yang disebutkan oleh Allah dengan perumpamaan buruk sebagai BINATANG TERNAK.

Firman Allah SWT:



“Dan Sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka Jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang-orang yang lalai” [al-A'raaf 7: 179]

Binatang ternak tidak pernah peduli kepada pisau yang sedang diasah untuk menyembelihnya. Binatang ternak hanya memerhatikan rumput dengan penuh nafsu terhadap perutnya. Binatang ternak adalah perumpamaan kepada manusia yang diberi mata tidak melihat, diberi telinga tidak mendengar. Apa yang mereka pedulikan hanyalah lima rukun hidup iaitu MAKAN, MINUM, KERJA, REHAT dan KAHWIN.

Semoga dengan kecaman dan bantahan yang dibuat, menjadi saksi di hadapan Allah, bahawa kita adalah manusia, bukan binatang yang tidak punya rasa peduli dan peka.

Namun kecaman bukanlah tindakan yang terbaik oleh seorang mukmin.

Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda:



Daripada Abu Sa’eed al-Khudri radhiyallahu ‘anhu beliau berkata: aku mendengar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam pernah bersabda: Sesiapa dari kalangan kamu yang melihat kemungkaran, maka hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Andai tiada kemampuan untuk berbuat demikian, maka hendalah dia mengubahnya dengan lisannya. Dan jika beliau tidak mampu untuk berbuat begitu, maka hendaklah (dikecam) dengan hatinya. Dan demikian itu adalah selemah-lemah iman [Hadith riwayat Muslim]

Arahan Nabi Muhammad sallalaahu ‘alayhi wa sallam terhadap tindakan kita mencegah kemungkaran, bukan sekadar mengingkarinya dengan hati, atau menegahnya dengan lisan, tetapi bertindak dengan tangan untuk MENGUBAH keadaan. Tindak balas kita mestilah ada upaya untuk mengubah keadaan, dan kecaman masih jauh dari mampu mencetuskan perubahan itu.





Sidang Jumaat rahimakumullaah,

Tindakan kedua yang mesti kita lakukan untuk bertindak terhadap kekejaman Yahudi di bumi Palestin adalah selepas MENGECAM adalah MENCEGAH.

Mencegah boleh berlaku dalam beberapa bentuk.

Cegahan pertama adalah pada usaha mengelakkan diri untuk menjadi mangsa kepada kemungkaran itu. Ia mungkin boleh diertikan sebagai tindakan untuk berhijrah meninggalkan tempat di mana kemungkaran itu berlaku.

Ia mungkin berupaya menyelamatkan diri kita buat sementara, tetapi ia tidak akan dapat menamatkan kemungkaran itu daripada terus menerus berleluasa. Dan segala puji bagi Allah, saudara kita di bumi Palestin tidak bertindak melarikan diri. Jika mereka tidak punya semangat yang kuat untuk mempertahankan diri dan maruah Islam, sudah pasti mereka bertempiaran lari menjadi pelarian di bumi asing.

Namun Allah anugerahkan bumi itu dengan manusia yang kental jiwa. Mereka terus bertahan. Biar pun hanya dengan lastik dan batu, berundur tidak sekali-kali! Sama ada menang, atau syahid fi sabillah.

Mencegah yang kedua pula, boleh diertikan dengan tindakan kita mengekang diri daripada menjadi sebahagian daripada kemungkaran itu. Kita harus bertindak untuk menghalang diri daripada menjadi sebahagian daripada kekuatan regim Yahudi di bumi Palestin. Dan tindakan ini boleh dijustifikasikan dengan kempen boikot.

Secara individu, kita boleh menyekat diri daripada menggunakan barangan dan perkhidmatan syarikat-syarikat yang menyumbang kepada kekuatan ekonomi regim Yahudi Zionis itu termasuk kerjasama dalam bentuk pentadbiran Negara..

Firman Allah SWT berkenaan dengan hal ini:



“Kemudian, Kami kembalikan kepada kamu (Yahudi) kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami perpanjangkan kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya” [Al-Israa' 17: 6]

Di era kerosakan kedua oleh kaum Yahudi ini, Allah SWT menjelaskan bahawa kekuatan mereka adalah hasil yang diperpanjangkan kepada mereka berupa harta kekayaan dan sumber tenaga manusia. Ayat ini amat jelas menunjukkan kepada kita, bahawa regim Yahudi Zionis hari ini menjadi kuat hasil sokongan luar yang mereka terima.

Sokongan itu tidak lain dan tidak bukan adalah daripada negara Polis Dunia iaitu Amerika Syarikat.

Laporan http://www.ifamericansknew.org menjelaskan bahawa regim Zionis yang menjajah bumi Palestin menerima bantuan di antara 10 ke 15 juta US Dollar sehari daripada Amerika Syarikat. Jumlah ini mengatasi jumlah keseluruhan bantuan Amerika Syarikat kepada negara-negara Amerika Latin, Sub Sahara Afrika dan Carribean.

Maka tindakan memboikot barangan yang menyumbang kepada kekuatan ini, tindakan menghentikan penggunakan matawang Dollar Amerika Syarikat dan menerima sebarang kerjasama yahudi adalah tindakan mencegah yang boleh memberikan kesan kepada hal ini, jika umat Islam dan seluruh warga manusia yang prihatin bersatu padu menjayakannya.

Sidang Jumaat sekalian,

Walau bagaimana pun, tindakan mengecam dan mencegah masih belum mencapai standard yang ditetapkan oleh Nabi Muhammad sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada kita. Bahawa kemungkaran mesti menerima tindak balas yang bersifat MENGUBAH.

Perubahan itulah yang mesti diperhatikan oleh kita semua.

Apakah kekalahan demi kekalahan yang menimpa umat Islam selama ini berlaku tanpa sebab?

Apakah kejatuhan kuasa Islam hanya disebabkan oleh faktor luar?

Sesungguhnya mencela kaum Yahudi yang melakukan kerosakan, tidak lebih daripada sekadar kata pepatah Melayu, SEPERTI MARAHKAN ANJING MENYALAK BUKIT. Yahudi dan kerosakan sudah sinonim, maka janganlah kita sekadar marahkan Yahudi, sebaliknya cerminlah diri kita, apakah yang sedang berlaku kepada umat Islam sendiri?

Kaum Muslimin rahimakumullaah,

Menjawab soalan ini, kita perhatikan apa yang telah diungkapkan oleh Abu al-Hasan Ali al-Nadawi di dalam bukunya Ila al-Islam Min Jadeed (Kembali Semula Kepada Islam). Di bawah tajuk “Antara Ilusi dan Realiti” (Bayna al-Soorah wa al-Haqiqah), al-Nadwi telah memberikan suatu analogi yang sangat baik untuk difikirkan bersama.

Al-Nadwi membayangkan bagaimana seorang pemimpin hebat yang telah mati, dikenang oleh pengikutnya dengan membina sebuah patung yang besar dan amat menyerupai rupa pemimpin itu semasa hayatnya. Tetapi pada suatu hari, seekor burung datang bertenggek di atas hidung “pemimpin”tersebut dan melepaskan najisnya. Patung yang besar dan gagah itu tidak mampu berbuat apa-apa terhadap burung yang kecil itu, walaupun di kaki patung itu terpahat nama seorang pemimpin yang semasa hidupnya digeruni kawan dan lawan.

Mengapakah keadaan itu boleh berlaku? Mengapakah pemimpin yang hebat itu terhina hanya oleh perilaku seekor burung yang kecil?

Al-Nadawi mengulas analogi ini dengan mengemukakan konsep ilusi versus realiti.

Patung itu walaupun besar, gagah dan hebat, malah mewakili peribadi seorang pemimpin yang agung semasa hidupnya, adalah hanya “seorang patung”. Ia hanya sebuah gambaran. Sebuah ilusi. Manakala burung tersebut, walaupun kecil dari segi saiznya, ia adalah burung yang hidup. Burung itu walaupun kecil, namun ia adalah realiti.

Sunnatullah telah menetapkan bahawa realiti sentiasa mengalahkan ilusi.

Beginilah perihalnya kita ketika berhadapan dengan musuh.

Jika kita membuka lembaran al-Quran dan mengkaji tentang Yahudi, maka kita akan dapati bahawa keterangan al-Quran tentang karakter Yahudi amat selaras. Kelakuan penakut mereka yang hanya membolehkan mereka menyerang di sebalik tembok, sifat takabbur, dendam kesumat terhadap orang-orang yang beriman, semuanya menepati realiti. Maka orang-orang Yahudi hari ini adalah orang Yahudi sejati. Pertembungan kita dengan Yahudi adalah pertembungan kita dengan sebuah realiti.

Namun, jika kita amati keterangan al-Quran tentang ciri-ciri orang Islam dan Mukmin, apakah hasil pengamatan kita itu?

Al-Quran menjelaskan bahawa orang-orang Mukmin itu bersaudara. Al-Quran juga menjelaskan bahawa orang Mukmin itu saling menjadi pembantu kepada Mukmin yang lain. Orang Mukmin bersatu padu berpegang dengan tali Allah, mereka tidak berpecah belah ketika mendirikan agama, mereka pengasih sesama mereka dan keras terhadap Kuffar dan pelbagai lagi senarai ciri Mukmin yang diterangkan oleh al-Quran.

Namun, perhatikanlah realiti umat Islam hari ini. Berapakah jarak di antara diri idaman mereka seperti yang digambarkan al-Quran, dengan diri sebenar mereka di dalam realiti kehidupan?

Selagi kita tidak berusaha untuk membentuk diri menjadi Mukmin sejati, selagi itulah kita tidak akan diizinkan oleh Allah untuk melihat pembebasan Palestin dan Masjidil Aqsa.

Tragedi terhadap konvoi bantuan Gaza adalah seruan Allah untuk kita kembali kepada Islam.

Islam yang tulen.

Marilah semua peringkat masyarakat kita meneruskan doa dan solat hajat di masjid, surau, jabatan kerajaan, atau mana-mana tempat lain yang sesuai bagi memohon agar Allah SWT menjayakan misi bantuan ini dan memberikan kekuatan dan kesabaran kepada para sukarelawan.

Ibu bapa didiklah anak menjadi Muslim, jangan dibiarkan mereka menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi.

Kenalkan kepada anak-anak kita apa itu Islam dan apa itu Jahiliyyah. Fahamkan mereka siapa Yahudi dan Nasrani dan mengapa mereka dikutuk Allah. Ajarlah anak-anak mencintai kebenaran, keadilan dan memusuhi kezaliman. Agar dengan jiwa tulen seorang putera Muslim dan puteri Muslimah, Yahudi tulen akan dikalahkan oleh Muslim tulen.



“Dan jika kamu kembali, maka Kami pula akan kembali ..” [al-Israa' 17: 8]

Kembalilah kepada Allah, agar Allah kembali kepada kita dengan bantuan dan kemenangan!